Oleh : Hajah Siti Zuraihah Haji Awang Sulaiman / Foto : Haji Ariffin Mohd. Noor / Morshidi
BANDAR SERI BEGAWAN, Isnin, 10 November. - Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, berkenan menerima mengadap Menteri Negara bagi Hal Ehwal Luar Negeri, Kerajaan Qatar, Tuan Yang Terutama Soltan bin Saad Al-Muraikhi, yang mengadakan lawatan kerja ke negara ini selama tiga hari.
Lawatan Tuan Yang Terutama ini bertujuan untuk meningkatkan lagi kerjasama serta meneroka bidang-bidang yang saling bermanfaat kepada Negara Brunei Darussalam (NBD) dan Qatar.
Hubungan diplomatik antara NBD dan Qatar mula terjalin pada 2 Oktober 1991, dengan kedua-dua buah negara mempunyai kerjasama baik dalam bidang perdagangan dan pertukaran rakyat.
Menyertai TYT pada Majlis Mengadap yang berlangsung di Istana Nurul Iman berkenaan, Tuan Yang Terutama Abdullah Hamad Ali Al-Adham Al-Marri, bakal Duta Besar Istimewa dan Mutlak Qatar ke NBD.
Juga hadir semasa Majlis Mengadap berkenaan, Menteri Hal Ehwal Luar Negeri II, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Erywan bin Pehin Datu Pekerma Jaya Haji Mohd. Yusof; dan Timbalan Menteri (Urustadbir Perkhidmatan Awam) di Jabatan Perdana Menteri, Yang Mulia Dato Seri Paduka Awang Mohammed Riza bin Dato Paduka Haji Mohammed Yunos.